Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Monday 26 September 2016

Berhenti main bayang


PANDANGLAH DISEBALIK SESUATU KETIKA MEMANDANG SESUATU

Hakikat memadamkan kepalsuan. Ramai mereka yang dilihat biasa tapi luarbiasa, ramai mereka yang dilihat luarbiasa tapi mereka adalah biasa.

Uwais Al-Qarni dilihat biasa sehingga tiada manusia bumi yang menghiraukannya tetapi hakikatnya dia adalah luarbiasa. Dia dicintai Nabi Muhammad SAW walaupun tiada menemuinya, dia adalah sebaik-baik tabieen di zamannya. Tiada pujian, harta, wanita yang dapat mengugah keimanannya.‎ Dia bagaikan sebuah gunung yang kukuh. Pintu langit terbuka untuknya ketika berdoa. Allah sentiasa menghadapkan wajahNya kepadanya dengan penuh cinta.

Al-Bal'am dan Al-Basyisor pula adalah manusia luarbiasa kealiman, kewarakan dan karamahnya amat disanjung. Segala kalamnya dipatuhi, sang raja tunduk padanya namun dia adalah manusia biasa di sisi Allah yang tiada tahan dengan pujian dan kemewahan, yang tiada tahan dengan pujukan wanita sehingga langit menutup pintu padanya dan Allah tiada memandang pada wajahnya melainkan dengan penuh kemurkaan sehingga ditutup pintu keimanan diakhir kalamnya Dia dalam kekufuran.

Pandangan syariat berbeza dengan pandangan hakikat. Pandangan Allah berbeza dengan pandangan manusia!

Rasulullah s.a.w pernah ditegur Allah kerana menganggap pemuka Quraisy mempunyai nilai sehingga memalingkan wajahnya yang mulia dari Ibnu Makhtum yang buta sedangkan di sisi Allah pemuka Quraisy tiada nilai apa-apa di sisiNya Ibnu Makhtum itu lebih mulia dan dicintai lantaran sekeping hati yang mencintai Allah dan Rasul. Sekeping hati yang bersih meronta mahu mencari hidayah, sehingga akhirnya Rasulullah Habibullah memahaminya lalu ditinggalkan majlis pemuka-pemuka Quraisy yang tiada nilai dikejarnya Ibnu Makhtum yang sangat bernilai di sisi Allah.


SYARIAT DAPAT DILAKONKAN, MAKA ALLAH TIADA MEMANDANGNYA IA HANYA TEMPAT NILAIAN MANUSIA YANG RENDAH NILAI PANDANGANNYA.

Hakikat adalah kebenaran dalam qalbu. Ia tempat pandangan Allah, ia tempat nilaian Allah, ia adalah diri yang akan dibongkarkan di akhirat, ia tempat pandangan para Arifbillah. Mereka melihat dengan pandangan Allah. Melihat tiada tertipu dengan ilmu, bicara, kitab dan pakaian sang alim. Tiada tertipu dengan ketekunan ibadah para ahli abid. Tiada tertipu dengan zikir, cinta, dzauk, kasyaf dan tangisan para ahli tarekah, tiada tertipu dengan dermawan para dermawan, tiada tertipu dengan sifat tawadhu, zuhud, khidmat dan kebaikan mereka. Tiada tertipu dengan apa saja yang zahir yang dizahirkan, mereka melihat rupa di sebalik rupa itu! Wajah hakikat memadamkan wajah syariat!

Sang Arif hanya tersenyum melihat pelakon-pelakon dunia yang hebat lakonannya, bicaranya memuja Allah sedangkan ia memuja nafsunya, bicaranya mencintai Nabi sedangkan dia mencintai dirinya! Kelakuannya adalah ibadah tetapi sebenarnya ia menyembah nafsu ketuhanan dirinya, amalannya seperti ahli sufi tetapi batinnya bagaikan seperti serigala yang sentiasa mengintai mangsa untuk dirobek dagingnya.

Orang biasa yang luarbiasa mereka pemilik jiwa orang dicintai Allah, jika ditanya apakah kelebihan mereka nescaya mereka tiada mengetahui, jika dipuji, nescaya mereka malu menerimanya, jika dalam majlis, datangnya tiada disedari, pulangnya tiada diketahui, jika ditanya ilmu, nescaya mereka hanya mengatakan kadar untuk ibadahnya, jika ditanya amal, nescaya mereka hanya menjawab sekadar yang wajib dan sedikit yang sunat, jika ditanya harta, nescaya dijawab sekadar untuk melepaskan keperluan kehidupan namun jika ditanya pada hati, nescaya mereka mengatakan aku hanya insan yang sederhana dan daif disisi Allah kerana mereka tiada memiliki apa-apa kelebihan yang mahu dibanggakan, namun mereka sudah berada separuh jiwa aulia jika digilap, nescaya cahayanya memancar ke langit menembusi langit kerahsiaan.

Berhati-hati dalam kehidupan jangan hanya terpukau pada yang zahir sahaja indah yang zahir tak semestinya indah yang batinnya namun cahaya kebenaran dan kebatilan hampir sama, disangkanya cahaya tetapi kepalsuan, disangkanya kegelapan tetapi kebenaran, perbanyakkanlah selawat pada zaman yang penuh penipuan ini agar cahaya Rasul menyelinap dalam jiwamu dengan cahaya itu engkau dipelihara dari kepalsuan segala rupa syariat dari segala penipuan para pelakon-pelakon dunia sehingga dirimu bertemu para murabbi yang benar memimpin tanganmu menanggalkan topeng kepalsuan, menujulah kepada kehidupan hakikat sehingga engkau melihat kebatilan dirimu banyak bermain-main ditepian pantai, tiadalah engkau menyelam dalamnya lautan jika benar engkau menemuinya! dan engkau akan memakai pakaian hakikat, pakaian para kekasih Allah yang Haq! Merekalah pewaris Nabi pembawa kebenaran bukannya pembawa pada bayang-bayang kepalsuan.


Carilah hakikat, berhentilah bermain bayang-bayang.


Allahu'alam.