Allah menguji manusia mengikut kehendakNya. Tiada satu orang hamba yang mampu menghalang, Jatuh bangun manusia di tanganNya. Aku percaya. Sebanyak mana manusia membuat dosa, pintu taubat sentiasa terbuka sehingga manusia menutup mata.
Nabi Muhammad pernah menceritakan dalam hadis Baginda kisah seorang lelaki yang membunuh 100 orang kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Akhirnya lelaki itu diampuni Allah dan masuk syurga. Maka jangan kita memberi alasan Allah tidak menerima taubat untuk melengah-lengahkan daripada segera bertaubat kepada Allah.
Allah sangat suka dan gembira jika ada hamba yang ingin bertaubat dan kembali kepadaNya. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk sesiapa juga yang ingin kembali kepadaNya kerana rahmat Allah itu sangat luas.
Hari ini ramai yang beranggapan dosa dan maksiat yang dibuat terus menerus tidak diampunkan Allah. Ini suatu kesilapan yang besar. Nabi SAW menyebut dalam hadis yang disahihkan al-Albani dalam Misykat yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad.
Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan suatu dosa kemudian ia berwuduk dan solat dua rakaat lalu beristighfar kepada Allah dari dosa itu, kecuali Allah mengampuninya.
kemudian Rasulullah SAW membaca ayat,
Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui [Surah Ali-Imran:135]
Solat dua rakaat yang Nabi sebut dalam hadis di atas ialah solat sunat taubat, amal yang pasti dan sahih bentuknya. Maka sedarlah kita semua pintu taubat masih terus terbuka selagi mana kita mahu kembali kepadaNya.
Jangan hidup seperti munafik. Penampilan baik, tetapi hati mempunyai zulumat yang kotor. Tuhan. Aku tidak mahu rebah buat kali kedua. Mahu berterusan membuat kebaikan. TanpaMu hidup aku menderita. Sunyi hati ini, kelam jiwa. Bagai dipenjara.
Kita masuk syurga Allah dengan dua sebab. Rahmat Allah dan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Audit diri. Muhasabah diri. Refleksi diri.