Seorang murid perlu taat kepada gurunya.
Aku tidak akan pandai mengaji sekiranya aku tidak belajar dan tidak berguru. Bermula dengan mengaji Iqra', disambung pula dengan muqadam. Memang susah pada mulanya untuk membaca sesuatu yang baharu. Mengenal huruf yang asing.
Aku belajar mengaji bukan berguru dengan umi abah. Seronok pergi mengaji dengan kawan-kawan. Naik basikal. Bawa laju-laju. Bawa torchlight. Siap berlumba lagi. Dengan alasan dapat mengaji dahulu.
Aku selalu balik lewat asbab ditahan dengan guru mengaji. Sebutan aku sering salah. Huruf ALIF dan AIN paling ketara. Memang banyak dugaan. Tapi aku teruskan jua. Setiap pengorbanan perlukan mujahadah.
Di luar kelas mengaji pun ada ceritanya.
Sepanjang perjalanan harus aku tempuhi dengan berhati-hati. Hal ini kerana satu rumah yang punyai anjing besar. Aku dan kawan-kawan perlu mengutip batu-batu kecil. Bukan untuk menyakiti binatang tetapi sebagai langkah berjaga-jaga. Dikejar anjing memang menjadi rutin bagi kami. Anjing seekor dapat mengalahkan ramai manusia.
Kawan-kawan aku dapat mengkhatamkan muqadam awal. Aku lambat. Oleh kerana itu, umi abah menghantar aku mengaji ke tempat lain.
Umi akan memeriksa dahulu bacaan aku sebelum pergi belajar mengaji. Kiranya dua kali aku akan disemak. Akhirnya aku dapat meneruskan mengaji Al-Quran. Orang lain pergi tuisyen, aku pergi kelas mengaji. Mungkin ada hikmah. Oleh kerana aku ingin khatam awal, petang dan malam aku datang rumah Mak cik Habsah belajar mengaji. Segan. Hendak tutup muka tapi hurufnya nanti tidak nampak.
Aku bersyukur dapat peluang mengaji di usia yang muda. Selagi mana kita hidup di muka bumi Allah, bacalah Al-Quran. Penyelamat dan peneman kita di hari Akhirat.
Jangan pandang serong kepada mereka yang buta huruf akan Al-Quran. Allah pilih kita mengaji di usia muda untuk mengajar mereka. Yang penting, perlu ada ilmu di dada.
Terima kasih Ustaz Rahman dan Mak cik Habsah!
Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Sebaik-baik di kalangan kamu orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”
(Riwayat al-Bukhari)
•Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit (susah) dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan)”
(Riwayat Muslim).