Bismillahirrahmanirrahim.
Dikisahkan, ada sebatang pokok kurma yang Rasulullah SAW sering berdiri dan bersandar sambil memberi khutbah pada umat Islam. Pada tahun ke-7H, Rasulullah SAW mula menggunakan mimbar.
Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah dan ceramahnya sambil memegang sebatang pokok kurma, lalu seorang wanita telah mencadangkan kepada Baginda Rasulullah SAW dan berkata. "Ya Rasulullah, mahukah engkau kami dirikan sebuah mimbar?". Baginda menjawab," Jika kalian memang menginginkannya, silalah". Maka para sahabat pun membuatkan sebuah mimbar untuk Rasulullah SAW.
Pada satu peristiwa aneh berlaku ketika Rasulullah SAW berjalan melepasi pohon kurma tersebut untuk menuju ke mimbar bagi tujuan memberi khutbah. Tiba-tiba pohon kurma itu menangis dan merintih dengan kuat sehingga masjid terasa bergoyang dan bergoncang.
Pohon kurma tidak dapat menahan perasaannya. Ia merindui Rasulullah SAW yang selama ini bersandar padanya semasa berkhutbah. Mendengar tangisan pohon kurma, Rasulullah SAW turun dari mimbar dan memeluk erat batang pohon kurma sambil perlahan berbisik dan memujuknya sehingga ia berhenti menangis. Peristiwa ini diceritakan oleh dua sahabat Rasulullah SAW:
Jabir r.a berkata: "Adalah dahulu Rasulullah SAW berdiri untuk berkhutbah di sebatang pohon kurma, maka apabila diletakkan mimbar baginya, kami mendengar sebuah suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah SAW turun kemudian baginda meletakkan tangannya diatas batang pohon kurma tersebut". (HR Bukhari)
Ibnu Umar r.a berkata: "Dahulu Nabi SAW berkhutbah pada sebatang kurma. Apabila baginda telah membuat mimbar, maka baginda berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun merintih. Maka Nabi SAW mendatanginya sambil mengeluskan tangannya pada batang kurma itu". (HR Bukhari dan Tarmizi)
Rasulullah SAW pun bertanya kepada pohon kurma sama ada ia mahu menjadi pokok di dalam syurga dan berdamping dengan baginda SAW atau kekal di dunia untuk memberi makan buahnya pada orang beriman. Pokok kurma memilih untuk berdamping dengan Rasulullah SAW di syurga. Baginya jika memilih dunia, ia akan berpisah dengan Rasulullah SAW sesudah ia mati. Tetapi di syurga, ia tidak akan mati selama-lamanya dan tidak akan berpisah dari Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda, "Demi Tuhan yang memegang nyawaku di dalam tangan-Nya. Jika aku tidak memeluk dan memujuknya, pasti ia akan berterusan seperti ini hingga hari kiamat".
Inilah kisah pohon kurma yang menangis kerana rindu kepada Rasulullah SAW. Bayangkan, sebatang pohon kurma tidak mahu jauh dari Rasulullah SAW, malahan ia tidaklah jauh dari mimbar Rasulullah SAW, tapi ia tetap tidak mahu jauh dari Rasulullah SAW.
Bagaimana dengan kita? Berapa tahap kecintaan dan kerinduan kita pada Rasulullah SAW? Malunya kita yang digelar umatnya. Mari sama-sama kita ambil ibrah dalam kisah ini.
Sewajarnya, kita sebagai umatnya, perlu mencari jalan yang boleh dijadikan saluran untuk berbakti kepada syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW. Hanya dengan cara itu kita akan sentiasa mengingati baginda SAW.
Jom ikut sunnah. Moga bermanfaat. Moga Allah Redha. Allahu yusahhil umurana.